FAP gesa FAM tingkat mutu pengadilan

Oleh Muzaffar Musa 20 September 2020 310
FAP gesa FAM tingkat mutu pengadilan
Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Dr. Amar Pritpal Abdullah, menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meningkatkan mutu pengadilan membabitkan aspek bantuan pengadil.

Ia susulan berlakunya kontroversi membabitkan keputusan pengadil dalam perlawanan Liga Perdana di antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya semalam.

Di sebalik kejayaan Pulau Pinang mengesahkan tempat dalam Liga Super musim 2021, isu pengadilan terus mendapat perhatian.

Ia kerana dua percubaan skuad Pulau Mutiara itu menerusi Casagrande dan Endrick Dos Santos tidak dikira walaupun bola tampak sudah melepasi garisan gol.

"Beberapa keputusan tentang gol, kami memohon FAM supaya meningkatkan rakaman video di sekitar kawasan gol," katanya dalam sidang media.

"Terdapat satu gol yang dituntut pemain kami dalam babak pertama dan dengan percubaan kami yang terkena palang dan melantun masuk ke dalam gol sebelum terkeluar, saya fikir kita perlu memperbaiki kualiti pengadilan di kawasan gol.

"Sama ada meletakkan kamera video di kawasan berkenaan dan sebagainya.

"Kerana perlawanan dimenangi dengan gol dan sekiranya gol tidak dikira, ia tidak bagus untuk bola sepak," katanya.

Pertahanan import, Rafael Vitor, menyumbat gol pada lewat permainan untuk menghadiahkan tiga mata buat skuad Harimau Kumbang itu.

Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur itu meletakkan Pulau Pinang kini sebelah kaki untuk bergelar juara Liga Perdana musim ini.

"Mengenai peluang (untuk menjuarai Liga Perdana), jika kami dapat meneruskan permainan seperti ini, sayu boleh katakan ia memang satu cara permainan dengan standard Liga Super.

"Jika kami dapat mengekalkan momentum yang sama dan prestasi ini dapat berterusan sepanjang baki tiga perlawanan ini, saya 100 peratus yakin kami akan menjadi juara Liga Perdana," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen