Penyerang utama Kelantan United FC (KUFC), Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, sedar saingan dalam Liga Perdana cukup sengit namun berjanji sentiasa memberikan aksi terbaik demi membantu skuad Kijang Hijau mencapai sasaran layak ke Liga Super musim depan.

Selain itu, bekas penyerang Kelantan FA ini juga berazam mahu mengulangi sentuhan ajaibnya musim lepas dalam Liga M3 yang menyaksikan dia meledak 28 gol daripada 26 perlawanan sehingga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih berusaha untuk meningkatkan prestasi semasa demi membantu KUFC mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Satu kenangan terbaik dalam karier saya apabila berjaya membantu KUFC layak ke Liga Perdana selepas semusim beraksi dalam Liga M3.

“Seronok jika dapat dapat mengulangi lagi persembahan terbaik itu tetapi saya sedar saingan dalam Liga Perdana musim ini cukup mencabar. Namun, siapa pun yang menjaringkan gol tidak penting asalkan KUFC terus mencatatkan kemenangan,” ujarnya.

Penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 26 tahun ini tidak mahu menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai halangan sebaliknya meneruskan rutin harian dengan menjalani latihan selama sejam setiap hari untuk mengekalkan tahap kecergasan.

“Sebagai pemain profesional, kecergasan amat penting dan saya perlu bersedia sepenuhnya jika Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk menyambung kembali Liga Malaysia (Liga-M) yang tertangguh akibat penularan Covid-19 selepas 28 April ini.

“Terima kasih kepada barisan jurulatih KUFC yang sentiasa berkongsi video mengenai kecergasan dan kemahiran untuk kami ikuti. Minggu ini, saya fokus kepada latihan Tabata yang beri penekanan kepada meningkatkan stamina dan kekuatan otot kaki,” ulasnya.

Koleksi Foto: KUFC