Sang Badak sekali lagi menamatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan penuh kekecewaan apabila bukan saja gagal mencapai apa yang disasarkan, malah turut diaibkan UiTM FC 2-1 dalam perlawanan terakhir di gelanggang sendiri, semalam.

Walaupun keputusan perlawanan itu tidak membawa sebarang makna kepada Sabah, namun kekalahan di hadapan penyokong sendiri itu menimbulkan cemuhan terhadap pasukan yang turut mendapat jolokan Sabah Rhinos itu.

Seperti biasa sebelum musim bermula, Sabah meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan empat pasukan terbaik dalam Liga Perdana serta melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Namun, semuanya hanya seperti 'angan-angan Mat Jenin' apabila sasaran yang dituju jelas tersasar jauh walaupun beberapa kali merombak pasukan dengan menukar jurulatih dan pemain.

Antara alasan yang sering diberikan apabila gagal mencatat kemenangan termasuk ketumpulan bahagian serangan serta 'tiada nasib'.

Perkara itu turut diakui pengendali pasukan, Johnny Dominicus, yang menyifatkan ketiadaan penyerang import berbisa sebagai faktor utama kelemahan pasukan.

"Kami kekurangan dari segi bantuan pemain import, Muamer Salibasic, yang mengalami kecederaan berpanjangan manakala Everton Souza Santos tidak mampu beraksi 100 peratus, juga kerana kecederaan.

"Musim ini kami hanya bergantung kepada dua pemain import, iaitu pertahanan, Igor Cerina dan pemain tengah, Dedi Kusnandar, dan ini satu kelemahan kepada pasukan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Likas.

Bagaimanapun, Johnny yang mengambil alih tugas daripada Vjeran Simunic pada pertengahan musim, lega kerana berjaya menyelamatkan pasukan daripada jatuh ke Liga FAM.

"Sejak saya mengambil alih pasukan, saya ditugaskan untuk menyelamatkan pasukan daripada jatuh ke Liga FAM dan kami berjaya mengatasinya.

"Walaupun kami mengharungi musim yang kurang memberangsangkan, tapi masih ada perkara positif yang kami capai, iaitu peningkatan pemain-pemain muda...saya memuji semangat juang tinggi mereka walaupun mungkin kekurangan dari segi pengalaman," katanya.

Beliau juga percaya majoriti pemain muda yang ada dalam pasukan mampu membawa cabaran pasukan pada musim akan datang.

"Kami hanya perlu membuat sedikit penambahan dengan mencari pemain import berkualiti, khususnya penyerang yang mampu menjaringkan gol."

Sabah menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga kesembilan selepas mengutip 20 mata daripada 22 perlawanan hasil lima kemenangan, lima kali seri serta 12 kekalahan.