Kurang seminggu dilantik mengendalikan Terengganu FC (TFC) II, Mustaffa Kamal Abd Wahab terus mengorak langkah memburu dua pemain import untuk memperkemaskan pasukannya.

Mengakui salah seorang daripadanya ialah bekas pemain negeri itu, Mustaffa Kamal bagaimanapun masih menunggu keputusan mereka untuk menyarung jersi TFC II.

Menurutnya, perbincangan sedang dijalankan dan kehadiran tonggak pertahanan dan penyerang itu diharap mampu menambah sengat TFC II dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

“Mereka ada menunjukkan minat. Namun, semuanya masih di peringkat rundingan.

“TFC II hanya akan dibantu dua tenaga import kerana kami mahu memberi lebih peluang kepada pemain-pemain tempatan,” ujarnya.

Sebelum ini, Mustaffa Kamal mengesahkan ketua pasukan T-Team, Hasbullah Awang, Fakhrurazi Musa, Hassan Basri dan Ahmad Takhiyuddin Roslan adalah antara pemain senior yang dikekalkan.

Turut menyertai mereka adalah empat pemain muda Terengganu, Amierul Hakimi Awang, Hafizal Mohamad, Shahrin Sapien serta penyerang, Amirul Syahmi Ashari.

“Selain itu, sekurang-kurangnya tujuh pemain Piala Presiden akan bersama kami dengan latihan pra-musim akan bermula esok,” kata Mustaffa Kamal.