Penggempur Kuala Lumpur, Guilherme de Paula, mahu melengkapkan musim terbaiknya tahun ini dengan membantu skuad ibu kota itu menjuarai saingan Liga Perdana apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II bagi aksi terakhir, esok.

De Paula berjaya menyerlahkan dirinya musim ini menerusi rekod 26 gol diledaknya yang menyaksikan dia hampir pasti dinobatkan pemenang Kasut Emas selepas meninggalkan pesaing terdekatnya, Akanni Sunday Wasiu, dari skuad UiTM FC dengan kelebihan sembilan gol.

Malah, aksi cemerlang bekas penyerang Selangor itu turut membantu The City Boys layak ke Liga Super, musim depan.

Namun, dia mengakui seakan-akan tidak lengkap tanpa gelaran Liga Perdana musim ini.

"Tiada yang lebih penting di sini berbanding pasukan. Rakan sepasukan banyak membantu saya untuk menjaringkan 26 gol. Saya sangat gembira dengan kumpulan (pemain) ini.

"Esok, kami akan cuba yang terbaik untuk memenangi gelaran buat Kuala Lumpur," kata pemain kelahiran Brazil itu.

Mengakui masih bernafsu memburu gol, bekas penyerang Selangor berkenaan yang hampir pasti kekal bersama Kuala Lumpur musim depan, optimis pasukannya mampu mencapai misi itu biarpun berdepan tugas getir bertemu JDT II di tempat lawan.

Sementara itu, MISC-MIFA dan Perlis sah akan tersingkir daripada saingan Liga Perdana musim depan sungguhpun mencatat kemenangan dalam aksi terakhir mereka.