Walaupun berdepan kemungkinan dipotong gaji, ia tidak menghalang penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil, untuk membantu mereka yang memerlukan ketika penyebaran wabak novel koronavirus (Covid-19).

Khatul menerusi status yang dimuat naik di laman media sosial miliknya tampil menawarkan diri untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan ketika ini.

Difahamkan, atlet berusia 23 tahun itu sudah mengeluarkan duit poketnya sebanyak RM2,000 bagi tujuan berkenaan.

Khatul muncul pemain terbaru berbuat demikian selepas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, Farizal Marlias dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Sementara itu, Persatuan Bekas Pemain Kuala Lumpur menyalurkan sumbangan kepada bekas pemain skuad Warga Kota yang turut dilanda kesusahan dalam situasi ketika ini.

Persatuan itu pada hari ini mengagihkan sumbangan membabitkan keperluan harian selain dana kutipan berjumlah RM2,650.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang atas bantuan prihatin untuk bekas pemain Kuala Lumpur.

"Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban bekas pemain sepanjang PKP ini," kata Presiden, Mohd Aiman Misbah, sambil diiringi beberapa bekas pemain seperti Ivan Yusoff, Shahrin Majid termasuk jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.