Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kuching FA tidak perlu menarik diri daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini walaupun berdepan dengan lima kes positif COVID-19.

Ini kerana pasukan dari Sarawak itu berjaya mengesan kes terbabit lebih awal dan mampu melaksanakan sistem kuarantin ke atas semua pemain dalam tempoh dua minggu .

"Sepatutnya boleh. Mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari maka dalam 7 atau 8 Ogos bolehlah mereka menyambung latihan manakala saingan liga akan kembali pada 26 Ogos depan.

"Jadi tiada masalah untuk mereka menyambung semula latihan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, hari ini.

Malah, difahamkan ada cadangan untuk menempatkan tiga pasukan daripada Sarawak dan Sabah untuk berkampung di semenanjung sehingga aksi liga ditamatkan.

Ini bagi memastikan kelancaran liga dan aspek keselamatan semua pemain dan pegawai dapat dipastikan memandangkan kes pandemik itu di borneo yang sedang meningkat.