Pengendali baru Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, menegaskan tugas membentuk sebuah skuad yang mantap bukan hanya bergantung kepadanya tetapi perlu kerjasama daripada semua barisan jurulatih serta pegawai dalam pasukan.

"Saya percaya Sabah boleh maju ke hadapan sekiranya pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain bekerja dengan satu hati dan visi.

"Daripada segi kualiti, tidak banyak beza dengan di Indonesia, cuma bagaimana membangunkan sebuah pasukan. Kami harus bisa bekerja satu hati satu visi dengan pemain, Insya-Allah kami akan diberikan jalan ke depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman kedatangannya ke Sabah oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, di Kota Kunabalu hari ini.

Kurniawan, 43, berkata beliau juga sentiasa mengikuti perkembangan Liga Malaysia, apatah lagi isterinya berasal dari Sarawak.

Selain itu, beliau turut pernah beraksi bersama Sarawak suatu ketika dulu di samping pembantunya ketika ini, Jelius Ating.

"Cuti saya selalu dihabiskan di sini. Saya juga banyak kenal jurulatih-jurulatih yang ada di Malaysia," katanya.

Terdahulu, bekas pembantu jurulatih Indonesia dalam Sukan SEA Filipina itu turut mengucapkan terima kasih kepada SAFA atas kepercayaan kepadanya untuk mengendali skuad Tambadau.

"Setakat ini, saya berasa selesa kerana kedatangan saya disambut baik oleh pihak pengurusan SAFA dan juga rakan-rakan barisan jurulatih," katanya.