Aksi keempat berturut-turut pada waktu petang dilihat mampu memberi kelebihan buat pendatang baru Liga Perdana, UKM FC, dalam misi melakar kemenangan kedua ke atas Kuantan FA, esok.

Kehadiran UKM FC tidak boleh dipandang sepi selepas mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) II 1-0 dalam perlawanan terakhir liga sebelum ini, sekali gus bermain pada waktu petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada esok bukan sesuatu yang asing.

Pengendali UKM, Sulaiman Hussein, menjangkakan faktor cuaca panas tidak akan menjadi penghalang buat anak-anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik.

"Apabila beraksi pada waktu petang dalam keadaan yang panas ketika ini, pastinya ia memberikan kesukaran, terutama kepada pemain import. Tetapi kami sudah memasuki perlawanan keempat pada waktu petang, jadi saya harap tiada alasan lagi daripada pemain-pemain," katanya.

UKM FC kini diperkuatkan dengan kehadiran perancang dari Perancis, Redouane Zerzouri, yang pernah beraksi bersama Madura United dalam Liga Indonesia.

Walaupun tidak beraksi sepenuh masa dalam dua perlawanan terakhir, dia dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia.

"Liga ini masih panjang tetapi sudah tentu saya harus membuktikan sesuatu kerana saya tenaga import dan semua orang faham situasi itu.

"Saya harap dapat melakukannya dengan baik," ujar Zerzouri.