Dua pemain baharu Kuala Lumpur, Azmeer Yusof dan Abdul Manaf Mamat, bertekad membantu pasukan itu kembali menggegarkan nama skuad warga kota di pentas Liga Malaysia.

Bekas pertahanan kiri Kedah, Azmeer, mengakui membuat keputusan berat berhijrah ke Kuala Lumpur atas faktor keluarga.

Tiada pilihan lain, dia berharap pilihannya ke Kuala Lumpur adalah tepat biarpun beraksi dalam Liga Perdana.

Namun, dia yang merupakan produk Piala Presiden Kuala Lumpur berhasrat mahu menaikkan kembali maruah The City Boys.

"Saya tahu ini satu perkara yang berat untuk saya tetapi saya mempunyai matlamat yang besar, iaitu cuba kembalikan Kuala Lumpur ke Liga Super dan jadi pasukan yang disegani," katanya.

Seorang lagi muka baharu Kuala Lumpur, Abdul Manaf Mamat, pula berdepan situasi berbeza, iaitu pertama kali berhijrah ke pasukan di Lembah Klang.

Bukan sahaja berharap mampu beraksi lebih kerap tetapi kembali menemui sentuhan berbisa seperti mana ketika dia menyarung jersi Terengganu.

"Seperti yang dibincangkan dengan pihak pengurusan, kami memang menyasarkan untuk naik ke Liga Super," jelasnya.

Ditanya sama ada dia berpeluang bertindak selaku tonggak utama serangan, Manaf berkata: "Sebelum ini perancangan jurulatih sememangya mahukan seorang sahaja pemain penyerang, selain itu terletak atas bahu pengendali."