Enam calon pemain import kini berkampung di Kota Kinabalu bagi mengintai peluang menyarung jersi Sang Badak, musim depan.

Antara pemain yang hadir dalam sesi pemilihan di Stadium Likas bermula semalam termasuk dari negara Croatia, Korea Selatan, Sepanyol, England dan Perancis.

Difahamkan juga, beberapa lagi calon pemain import akan turut terbang ke Kota Kinabalu dalam masa terdekat ini untuk menyertai sesi pemilihan yang dikendalikan ketua jurulatih, Steve Vilmiare, serta pengarah sukan, Adlane Messelem.

Bagaimanapun, tiga pemain import Sang Badak musim lalu, iaitu Muamer Salibasic, Everton Silva Santos dan Dedi Kusnandar tidak berada di padang menyertai sesi pemilihan itu.

Sumber mengatakan Everton kini sedang mencuba nasib bersama skuad Ngap Sayot di Kuching manakala Salibasic tidak diketahui kedudukannya.

Dalam pada itu, Dedi yang setakat ini belum diketahui nasibnya bersama Sabah masih bersama skuad kebangsaan Indonesia untuk Piala Suzuki AFF.

Sebelum ini pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, mengesahkan kedudukannya dalam pasukan selepas Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) melanjutkan kontrak pemain itu untuk tempoh semusim lagi.

Sementara itu, selain pemain dari luar negara, dua pemain dari Semenanjung turut dilihat menyertai sesi pemilihan berkenaan.

Antara yang hadir juga ialah bekas pemain Sang Badak, Sabri Sahar, yang pernah berhijrah ke Sarawak dan Negeri Sembilan.