Ketua Pegawai Eksekutif, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggantikan tempat DRB-Hicom yang sah menarik diri daripada saingan Liga Perdana musim depan.

DRB-Hicom mengambil keputusan untuk 'berehat' daripada Liga Malaysia apabila pintu pengesahan yang diberikan oleh FMLLP berakhir secara rasmi semalam.

Menurut Kevin, FMLLP tidak menetapkan sebarang kriteria untuk memilih pasukan mana yang akan menggantikan tempat DRB-Hicom.

Namun, tegasnya, FMLLP selaku badan pentadbir Liga Malaysia menggunakan pendekatan sama seperti yang telah berlaku dalam Liga Malaysia sebelum ini.

"Saya telah menjelaskan kepada ahli lembaga apa yang pernah berlaku pada masa lalu dan bagaimana pasukan pengganti pada masa lepas dipilih, termasuk apa yang berlaku tahun lalu di mana ada penggantian dalam Liga Perdana," katanya.

Musim lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mempertimbang dan meluluskan untuk mengekalkan Kuala Lumpur yang berada di tangga ke-11 Liga Perdana, untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

Lantas, Kevin menjelaskan pasukan ATM dikehendaki mengesahkan penyertaan kepada FMLLP sebelum 9 Disember ini.

"Kami tidak mendengar banyak masalah di pihak DRB Hicom. Jika dilihat dari segi pasukan yang menggantikan mereka, kami berharap pasukan tersebut akan mempamerkan semangat profesional yang tinggi dan menyediakan pasukan dengan sebaiknya.