Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertekad memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang diberikan selepas disahkan kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan bagi menggantikan DRB-Hicom FC.

Ia adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh pasukan itu untuk terus beraksi di pentas Liga Perdana musim 2017.

Menurut Setiausaha Persatuan Bola Sepak ATM, Muhammad Abdullah, mereka telah pun bersedia dari awal bagi sebarang kemungkinan dan seakan-akan tidak percaya peluang yang diberikan itu.

Namun, tiada sasaran tinggi diletakkan selain hanya mahu kekal dalam Liga Perdana dan merupakan satu bonus jika dapat melayakkan diri kembali ke saingan Liga Super pada masa akan datang.

"Walaupun keputusan musim 2016 agak kurang memberansangkan, kami telah bersedia dengan apa-apa sahaja kemungkinan, sama ada kekal dalam Liga Perdana ataupun tidak.

"Hari ini kami sudah menerima surat rasmi yang mengesahkan kami masih kekal dalam Liga Perdana. Sememangnya kami sudah membuat persiapan awal untuk mengharungi musim akan datang ini," katanya.

Setakat ini, ATM masih ingin menggunakan khidmat ketua jurulatih sedia ada, iaitu Azhar Abdullah, serta dalam proses mempersiapkan pemain terbaik sebelum memulakan aksi tahun hadapan.

"Kami masih menggunakan jurulatih sedia ada, malah kami menambah jurulatih untuk membantu barisan kejurulatihan sedia ada.

"Bahkan, kami akan cuba untuk mendapatkan pemain-pemain luar bagi membantu pemain."