Memori dilepaskan pada pertengahan musim daripada skuad Kuala Lumpur pada 2016 masih berbekas di hati penyerang Felcra FC, Anselmo Arruda Da Silva, yang bertekad membuktikan apa yang berlaku itu adalah satu kesilapan.

Ketika digugurkan dua tahun lalu, dia telah menjaringkan 11 gol dan membawa pasukannya muncul selaku pendahulu Liga Perdana.

Bagaimanapun, tanpa sebarang alasan kukuh, penyerang berketinggian 1.93 meter itu digugurkan dan dia masih tidak mengerti punca tindakan itu diambil sehingga hari ini.

Baginya, ia kekal sebagai satu kenangan pahit yang tidak akan dilupakan.

“Secara jujurnya, sehingga sekarang saya sendiri tidak faham mengapa saya digugurkan. Saya telah melakukan tugas sebagai penyerang dan mencipta 11 jaringan tetapi itu masih belum cukup di mata mereka.

"Tiada apa yang mahu dibuktikan kepada mereka kerana saya tahu saya seorang pemain yang baik,” katanya.

Anselmo atau lebih dikenali sebagai Casagrande buat masa ini muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bersama Gilberto Fortunato dari Felda United dengan lima gol hasil daripada tiga perlawanan.

Baginya, gelaran penjaring terbanyak kini menjadi keutamaan kedua buat dirinya kerana misi lebih penting ialah membantu Felcra memburu dua slot teratas Liga Perdana.

“Saya tidak terkejut dengan kejayaan menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan ini kerana saya tahu sejauh mana keupayaan saya untuk membantu Felcra. Bagaimanapun, saya tidak mahu pencapaian itu menjadi perkara utama kerana kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan lebih penting,” tambahnya.