Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad, memberi bayangan skuad Singa Utara sudah lebih daripada bersedia untuk tampil di pentas Liga Perdana jika perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Khamis ini memberi hasil positif.

Berdasarkan kedudukan musim ini, Perlis sepatutnya kekal dalam Piala FAM, namun perkembangan pasukan yang banyak menarik diri membuka ruang buat mereka ke Liga Perdana.

Perlis menjadi calon untuk dinaikkan ke Liga Perdana 2019 bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Amizal begitu optimis mereka bakal menyambar slot berkenaan selepas persiapan pramusim yang mereka lakukan.

Kini, pertemuan terakhir dengan MFL, Khamis ini, akan menoktahkan sama ada Perlis akan bermain dalam Liga Perdana atau Piala FAM musim depan.

"Kami mengharapkan akan ada perkara positif daripada MFL dan rezeki berpihak kepada kami. Kami 300 peratus mahu beraksi dalam Liga Perdana dan mengharapkan keputusan yang positif," katanya.

Berhubung isu tunggakan gaji yang dibidas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Amizal mahu mereka diberi masa kerana baru mengambil-alih kepimpinan pasukan.

Dalam masa sama, beliau menegur PFAM agar bersikap proaktif jika benar mahu membela nasib pemain selepas karier mereka berakhir dalam bola sepak.

"Kalau boleh jangan nampakkan isu tunggakan gaji sahaja. Ia tidak membantu pemain, sebaliknya mengetengahkan isu buat pemain yang menghampiri penghujung karier. Apa laluan dan perjalanan mereka selepas itu selain daripada menjadi jurulatih.

"Daripada 30 orang pemain, tidak semua akan bergelar jurulatih," tambah Amizal.