Alijus lepas jawatan presiden SAFA

Oleh Willie Jude 17 November 2018 356
Alijus lepas jawatan presiden SAFA
Selepas dihimpit masalah kewangan, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menerima satu lagi tamparan apabila Alijus Sipil melepaskan jawatannya sebagai presiden persatuan itu. 

Perkara itu disahkan beliau sendiri dengan alasan mahu menumpukan lebih perhatian kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT). 

"Saya juga mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada ahli-ahli gabungan SAFA yang telah memberi mandat kepada saya sebagai presiden dalam kongres yang berlangsung Ogos lalu. 

"Dalam ucapan saya ketika itu, saya menyatakan bersedia untuk berundur tanpa perlu menunggu penggal habis sekiranya saya gagal atau tidak dapat memberi komitmen. 

"Saya juga percaya, barisan ahli majlis tertinggi (AMT) SAFA masih mampu mentadbir persatuan dengan baik kerana mereka memiliki pemimpin-pemimpin berpengalaman, termasuk Datuk Rahman Zakaria (timbalan presiden SAFA)," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini. 

Alijus sebelum ini dipilih sebagai presiden selepas selesa mengatasi pencabarnya, Datuk Yusoff Kasim, dalam pemilihan SAFA pada 25 Ogos lalu. 

Dalam pemilihan itu, Aljus meraih 39 undi manakala Yusoff hanya mendapat 13 undi. 

Peletakan jawatan Aljus sebagai presiden menambahkan lagi masalah dalaman persatuan berkenaan ekoran mengalami masalah kewangan yang kritikal. 

Sumber SAFA yang enggan didedahkan namanya berkata persatuan itu akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan peletakan jawatan Alijus itu. 

"Keadaan SAFA kini kritikal, kerajaan negeri perlu membantu persatuan ini, jika tidak, penyertaan skuad Sabah dalam Liga Malaysia musim depan juga akan terjejas," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub, juga dijangka akan melepaskan jawatannya. 

Bagaimanapun, Joehari yang juga naib presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan belum menghantar surat peletakan jawatannya kepada pihak SAFA. 

Sebelum ini, Hamid Apdal yang juga adik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, turut meletak jawatan sebagai timbalan presiden SAFA, namun ditolak ahli majlis tertinggi persatuan itu dalam satu mesyuarat yang diadakan. 

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen