Bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Al-Hafiz Hamzah, berkata tujuannya berhijrah ke PDRM FA adalah untuk lebih kerap beraksi berikutan sering memanaskan bangku pemain simpanan sebelum ini.

Penjaga gol berasal dari Kedah itu bertekad memilih haluan baru bersama PDRM sambil menyifatkan tidak kisah beraksi dalam Liga Perdana.

Dia menaruh kepercayaan penuh terhadap kewibawaan Fauzi Pilus di samping pengalaman luasnya sebelum ini mampu membantu The Cops kembali mendaki saingan Liga Super musim 2018.

"Saya ingin bermain banyak perlawanan bersama pasukan PDRM.

"Yang penting, saya ada misi bersama PDRM di mana semua perlawanan dianggap penting dan kami ingin mencapai kejayaan pada 2017," katanya.

Dalam pada itu, Al-Hafiz mengakui keputusan meninggalkan JDT sebagai satu perkara yang berat untuk dilakukan selepas mencipta pelbagai kejayaan di sana.

Biarpun terkilan, dia berasakan itu keputusan paling tepat untuk dilakukan demi memastikan kariernya terus bersinar.

"Selepas sekian lama bersama JDT, memang ada rasa terkilan untuk meninggalkan JDT."