Jurulatih baru skuad Pulau Pinang, Ahmad Yusof, mendedahkan telah lama menyimpan impian mahu kembali membantu negeri kelahirannya selepas lama berkelana di Pantai Timur.

Sepanjang bergelar pemain, Ahmad mencipta nama ketika bersama Pahang pada era 90-an walaupun memulakan karier di Pulau Pinang.

Begitu juga sepanjang bergelar jurulatih, bermula dengan Pahang dan diakhiri bersama Hanelang FC, Ahmad kini akhirnya berpeluang membantu Pulau Pinang.

Meletakkan sasaran untuk membantu Pulau Pinang mampu berada dalam kalangan lima terbaik Liga Perdana, Ahmad juga memikul tanggungjawab bagi memastikan maruah Harimau Kumbang kembali dihormati.

"Saya mahu kembali memulihkan maruah bola sepak Pulau Pinang. Pengalaman yang diraih sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin," katanya.

Ahmad mengesahkan bekas penyerang Felda United dan Sarawak, Ndumba Makeche, menjadi antara import baru Pulau Pinang.

Selain itu, penyerang berasal dari Argentina, Julian Bottaro, turut memperkuatkan cabaran Pulau Pinang dalam Liga Perdana.

"Kami sudah memiliki dua pemain import dan mahu membuat pemilihan yang lebih baik bagi melengkapkan kuota pemain import."