Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan sebuah syarikat profesional, After Image Sdn Bhd, bagi memantapkan lagi pengurusan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, berkata syarikat itu yang akan bernaung di bawah Team Red Warriors Sdn Bhd telah melakukan beberapa urusan melibatkan bayaran gaji pemain tempatan dan import.

"Selain itu, kami juga ada penaja lain yang akan bersama dan penajaan ini bermula daripada tiga peringkat utama, iaitu awal musim, pertengahan dan tajaan bulan April.

"Kontrak penajaan mereka juga tiada tempoh tetap dan dilakukan secara terbuka," katanya kepada media selepas Majlis Halatuju TRW 2020 serta MoU Syarikat After Image Sdn Bhd dan Penaja-Penaja di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Wan Rahim juga mengumumkan pelantikan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih TRW dan memberikan kuasa penuh kepada pengendali kelahiran Perlis itu untuk memilih pemain yang dikehendakinya.

"Dia juga sedang menyusun senarai nama pemain yang akan dikemukakan untuk dimuktamadkan dan selepas itu baru kami buat kontrak untuk pemain yang sedia ada," ujarnya.