Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim, kecewa apabila anak buahnya mempamerkan prestasi di bawah tahap sebenar sehingga tewas 2-1 di tangan Selangor II dalam saingan Liga Perdana, semalam.

Pengendali itu menganggap barisan pemainnya lebih berpangalaman berbanding pasukan lawan, namun kesilapan kecil menjadi faktor kegagalan meraih tiga mata pertama.

Bagaimanapun, Abu Bakar bertekad manfaatkan peluang tatkala saingan Liga Palaysia ditunda untuk memperbaiki kelemahan sekali gus membentuk kelab sokongan yang ampuh.

"Saya telah jangkakan, dalam keghairahan menyerang, pasti akan dihukum. Saya lihat bek tengah gagal memimpin barisan pertahanan," katanya.

Bagi Michael Feichtenbeiner, dia menyifatkan Selangor II lebih bijak mengawal perlawanan walaupun pasukan pelawat memberi tentangan sengit di awal saingan.

Jaringan yang dilakar Bajram Nebija menerusi sepakan penalti dan kepantasan Ahmad Danial Ahmad Asri menyudahkan peluang ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang lawan membantu Selangor II kendalian Feichtenbeiner itu meraih kemenangan kedua.

"Kami bertahan ketika situasi bola mati dengan baik kerana penjaga gol kami beraksi cemerlang. Pemain lain -- yang rata-rata masih muda -- bergerak dengan baik walaupun perlu menyaingi kelebihan fizikal yang dimiliki lawan," katanya.