Bekas pemain Manchester United, Louis Saha, percaya Zinedine Zidane adalah pilihan terbaik menggantikan Jose Mourinho di Old Trafford.

United sedang mencari pengganti tetap untuk Mourinho, yang dipecat oleh gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu minggu lalu.

Bekas pemain, Ole Gunnar Solskjaer, telah mengambil tempat sebagai pengendali sementara hingga penghujung musim ini, dengan laporan mencadangkan United mahu mendapatkan khidmat pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, bagi musim 2019-20.

Zidane -- yang memimpin Real Madrid memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara (UCL) sebelum meninggalkan kelab LaLiga itu -- turut dikaitkan dengan tugas di Old Trafford.

Dalam satu temubual bersama Omnisport, Saha menyokong Zidane untuk melakar kejayaan di Theatre of Dreams.

"Bagi saya, Zidane adalah seorang pemain serta jurulatih berkualiti," katanya.

"Beliau seorang yang memahami dan bijak mengimbangi corak permainan serangan dan bertahan.

"Ia bukan satu tugas mudah untuk mengendalikan Real Madrid yang dibarisi pemain-pemain bertaraf bintang dan beliau berjaya meraih tiga gelaran UCL berturut-turut.

"Bagi saya, Zidane adalah pilihan terbaik United. Beliau akan menerima sokongan daripada semua pihak dan masa harus diberikan jika beliau dilantik selaku pengurus United," ujarnya.

Solskjaer memimpin kemenangan The Red Devils 5-1 ke atas Cardiff City kelmarin -- kali pertama pasukan itu menjaringkan lima gol sejak kali terakhir dilakukan dalam perlawanan terakhir Alex Ferguson selaku pengurus pada 2013.

United kekal di tangga keenam tetapi ketinggalan hanya lapan mata untuk mengejar kedudukan UCL menjelang aksi seterusnya berdepan Huddersfield Town.