Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, memberi jaminan bahawa penyerang, Wilfried Zaha, tidak akan dijual pada jendela perpindahan yang dibuka Januari ini.

Palace tewas 3-2 kepada Arsenal di laman sendiri untuk menamatkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah, menyaksikan skuad bimbingan Hodgson itu kini satu mata di atas zon penyingkiran.

Persembahan Zaha menjadi kunci Palace kembali menemui sentuhan, sekaligus dikaitkan dengan penghijrahan pada Januari ini, dengan Manchester City, Arsenal dan Chelsea berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu.

Hodgson sebelum ini menyatakan beliau tidak dapat memberikan apa-apa jaminan mengenai masa depan Zaha tetapi menegaskan pemain skuad kebangsaan Ivory Coast itu tidak akan dijual.

"Saya mendapat jaminan daripada pemilik kelab dan pengerusi, Steve Parish, bahawa penghijrahan Zaha tidak akan berlaku," kata Hodgson.

"Kami mahu menyimpan semua pemain dan cuba memperkuat pasukan dengan menambah bilangan pemain baru.

"Kami tidak menghiraukan khabar angin kerana mengetahui dia tidak akan meninggalkan pasukan," katanya.

Empat jaringan Zaha dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) membantu Palace keluar daripada zon penyingkiran, dengan Hodgson ternyata gembira di atas impak yang dipamerkan oleh pemain itu.

"Zaha adalah seorang pemain yang menakjubkan buat kami dan dia adalah seorang pemain ikon kepada kelab ini.

"Dia melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan keluar daripada zon bahaya dan saya berharap Zaha akan kekal bersama pasukan," katanya lagi.