Tonggak West Ham, Pablo Zabaleta, memainkan peranan cukup penting dalam memastikan Richarlison mendapat panggilan daripada skuad Brazil, kata penolong jurulatih, Sylvinho.

Richarlison -- yang berpindah daripada Watford ke Everton dengan yuran sekitar £40 juta (RM214.3j) -- menerima panggilan sulungnya untuk membarisi pasukan kebangsaan bagi aksi persahabatan melawan Amerika Syarikat dan El Salvador bulan lalu yang menjadi permulaan kepada empat penampilannya setakat ini dengan mencetak dua gol.

Selepas itu, dia membantu Brazil menjulang kemenangan 'Superclasico de las Americas' ke atas Argentina sebelum dipanggil buat kali ketiga menjelang pertembungan dengan Uruguay dan Cameroon.

Pembantu Tite, Sylvinho, memainkan peranan penting dalam proses pemilihan barisan pemain dan bekas anggonta skuad Arsenal, Barcelona dan Manchester City itu berkata bekas rakan sepasukannya, Zabaleta, merupakan individu yang membawa Richarlison ke radar perhatiannya.

"Saya mempunyai kawan baik di benua lain, mereka pernah bermain bersama saya dan membantu saya," kata Sylvinho dalam sidang akhbar.

"Selepas menentang Watford, Zabaleta menghubungi saya. Dia bertanya sekiranya kami sedar bahawa kami mempunyai pemain hebat di Watford.

"Dia berkata dia bukan hanya setakat bagus, malah "sangat baik".

"Kami telah memantaunya dan dia adalah sebahagian daripada perancangan kami, dia boleh bermain sebagai pemain berjersi nombor sembilan atau di sebelah sayap."

Pemain Napoli, Allan, merupakan salah seorang daripada dua muka baru yang dipilih untuk perlawanan pada 16 dan 20 November ini. Sehubungan itu, Sylvinho mengakui bahawa penyertaan pemain tengah itu telah lama dirancang.

"Dia telah berada di Eropah selama tujuh tahun. Dia bermula di Udinese manakala di Napoli, dia bermain dengan Sarri," kata Sylvinho.

"Anda akan jarang melihatnya menghasilkan gol dan umpanan yang membelah pertahanan tetapi dia pemain yang dinamik. Dia melaksanakan fungsinya di tengah padang. Dia berada di sini atas merit."