MANCHESTER CITY 2 WATFORD 0

Pemain pertahanan Manchester City, Pablo Zabaleta, mengakui berasa lega ekoran kelab itu kembali menemui sentuhan dengan kemenangan 2-0 ke atas Watford.


Bek kanan The Citizen itu membuka tirai jaringan pada babak pertama -- gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris dalam tempoh dua tahun -- sebelum David Silva mengesahkan kemenangan empat minit sebelum tamat.

Kemenangan pertama City selepas tiga perlawanan itu meletakkan mereka di kedudukan keempat liga, tujuh mata di belakang pendahulu, Chelsea, menjelang aksi berdepan Arsenal pada Ahad.

Ini juga merupakan kemenangan pertama City di laman sendiri sejak September lalu, dengan Zabaleta bertekad mengukir senyuman di wajah penyokong yang hadir di Stadium Etihad.

"Sudah sekian lama kami tidak melakar kemenangan di laman sendiri -- situasi itu sangat pelik," katanya.

"Kami tidak bermain dengan kualiti yang sepatutnya, namun pemain memberikan komitmen tinggi untuk mengutip tiga mata. Kami tidak bolos dan barisan pertahanan cukup ampuh kali ini.

"Kami layak untuk meraih kemenangan ini."

Zabaleta membuka tirai jaringan pada minit ke-33 dengan aksi voli setelah menerima hantaran lambung Kevin De Bruyne.

"Sebagai pemain pertahanan, kamu akan beranggapan bahawa tugas utama adalah untuk bertahan, namun apabila kamu berpeluang untuk menyerang, kamu perlu memanfaatkan peluang tersebut," tambahnya.

"Saya menerima hantaran cantik daripada De Bruyne sebelum melakar jaringan cantik itu!"

Kali terakhir Zabaleta melakar nama selaku penjaring adalah pada tahun 2014, dalam kemenangan 4-1 ke atas Sunderland.

Sementara itu, pengendali City, Pep Guardiola, mengesahkan bahawa pemain tengah, Ilkay Gundogan, terpaksa diketepikan untuk tempoh masa yang panjang susulan disyaki mengalami kecederaan ligamen.