Ashley Young dijangka menghadapi ujian sukar di Watford menjelang kunjungan Manchester United ke Vicarage Road, awal pagi esok.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mampu merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Manchester City, dengan lima mata jika mereka berjaya mencipta kemenangan.

Young, yang mula mengorak langkah dalam dunia bola sepak bersama akademi di Watford, berwaspada dengan ancaman skuad bimbingan Marco Silva itu.

"Kami menyedari beraksi di tempat lawan tetapi tiga mata penuh tetap menjadi keutamaan," katanya.

"Ia akan menjadi satu lawan yang sukar. Watford mempamerkan aksi yang baik dan saya menyedari sukar untuk menghadapi mereka."

Watford meraih dua kemenangan berturut-turut dan kini menduduki tangga kelapan, hanya ketinggalan empat mata di belakang Arsenal.

Young gembira kerana dapat kembali beraksi Vicarage Road tetapi dia tetap mahukan kemenangan untuk United.

"Saya sangat gembira kerana dapat kembali ke sana. Saya bersama Watford sejak berusia 10 hingga 21 tahun. Bagaimanapun, saya akan berusaha untuk membantu United mencari kemenangan," ujarnya.