Yaya Toure dikhabarkan telah mengarahkan ejennya, Dmitiri Seluk, untuk berdamai dengan pengendali, Pep Guardiola, bagi menghidupkan semula kariernya bersama Manchester City.

Toure hanya membuat satu penampilan musim ini -- dalam Liga Juara-Juara Eropah berdepan Steau Bucharest -- sejak Pep Guardiola dilantik selaku pengendali pasukan.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu difahamkan tidak akan disenaraikan sepanjang kempen kejohanan tersebut, sekaligus mencetuskan kemarahan Seluk.

Minggu lalu, Seluk mendakwa Pep bertindak demikian gara-gara ingin membalas dendam.

Pep turut enggan menjawab soalan berkaitan dengan isu tersebut selepas menyaksikan pasukannya mengejutkan Barcelona 3-1 pada Selasa.

Namun, ketika ditemu bual Daily Mirror, Seluk mendakwa dirinya bersedia berdamai dengan Pep atas arahan Toure.

"Saya telah bercakap dengan Yaya sejak kebelakangan ini dan dia telah meminta saya untuk menamatkan ketegangan terhadap Pep," jelasnya.

"Saya setuju dengan permintaanya kerana saya mahukan senario ini bertambah baik kerana perkara ini merosakkan karier Yaya.

"Penyokong dan rakan sepasukan Yaya turut meminta perkara sama.

"Apa yang penting adalah untuk semua pihak memaafkan apa yang telah terjadi agar Yaya dan Pep dapat membentuk hubungan baharu.

"Saya harap Pep menerima perkara ini agar kami semua dapat membuka buku baru."