Kevin De Bruyne percaya dia masih belum mencapai tahap terbaik walaupun telah meraih permulaan liga yang cemerlang dan melupakan saingan musim lalu yang menyaksikan dia bergelut dengan isu kecergasan.

Pemain Belgium itu dinamakan selaku Pemain Terbaik Tahunan Manchester City bagi musim 2017-18 tetapi hanya meraih 11 penampilan dalam kesebelasan utama liga musim lalu akibat kecederaan lutut dan paha.

Bagaimanapun, De Bruyne memulakan kempen musim ini dengan bergaya apabila mencipta tiga bantuan gol daripada dua perlawanan sewaktu membelasah West Ham United 5-0 dan seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur -- sekali gus membolehkannya meraih keyakinan untuk mengekalkan prestasi itu ketika ini.

"Saya rasa bagus dan mahu tampil lebih baik," katanya.

"Ini masih permulaan musim, sesuatu perkara tampak begitu berat tetapi saya terima. Semua perkara dalam keadaan baik pada musim ini."

De Bruyne jelas berada pada prestasi hebat dalam aksi kelmarin selepas pemain berusia 28 tahun itu melakukan dua hantaran lintang kemas untuk disudahkan Raheem Sterling dan Sergio Aguero.

Spus bangkit mengikat kedudukan sebanyak dua kali tetapi De Bruyne percaya pasukannya patut menang dan bertekad menjadikan aksi di Bournemouth minggu depan sebagai sasaran.

"Kami bermain baik dan layak menang," tambahnya.

"Seluruh pasukan beraksi dengan baik secara menyerang dan itu yang kami inginkan.

"Kami tidak meraih tiga mata tetapi hanya itu yang kami gagal lakukan. Kami mahu memenangi setiap perlawanan tetapi sukar.

"Kami layak menang dan akan bangkit minggu depan, jadi segalanya akan bagus."