Wright akui terkilan tidak akhiri karier di Arsenal

Oleh Fadzrie Hazis 20 Mei 2020 50
Wright akui terkilan tidak akhiri karier di Arsenal
Ketika era 90an, nama Ian Wright cukup sinonim dengan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang yang merekodkan 185 gol dalam 288 penampilan ini adalah penjaring gol kedua terbanyak Arsenal di belakang Thiery Henry.

Bersama Arsenal, Wright meraih kejuaraan EPL (1997/98), Piala FA (1992/93 dan 1997/98) dan Piala Liga (1992/93).

Namun di sebalik kejayaan yang diraih dengan Arsenal, Wright akui dia sebenarnya mahu menamatkan karier dengan kelab London itu.

“Ia sebenarnya bukan pilihan saya untuk meninggalkan Arsenal di penghujung kerjaya kerana perancangan saya adalah untuk bersara pada tahun 2000.

“Selepas menjuarai liga pada 1998, Nicolas Anelka jelas menjadi tonggak utama dan Arsene Wenger selepas itu turut membawa masuk Thiery Henry.

“Mungkin ketika itu, Wenger memikirkan sukar buat saya merebut tempat dengan kehadiran Anelka, Henry dan juga Dennis Bergkamp.

“Jadi saya, Wenger dan kelab mencapai kata sepakat untuk saya meninggalkan Arsenal,” kata Wright dalam program Adam Talks yang akan disiarkan pada 24 Mei ini di saluran Astro Supersport CH813 HD pada jam 6:30 petang.
 
Apa pun, Wright berpuas hati dengan pencapaian keseluruhannya ketika bersama Arsenal yang turut menyaksikannya meraih 33 penampilan antarabangsa bersama England.

Wright masih menamakan Wenger sebagai pengurus terbaik yang pernah mengendalikan Arsenal meskipun aksi Gunners hambar di beberapa musim terakhir pengendali kelahiran Perancis itu.

“Bagi saya, beberapa musim terakhir Wenger dengan Arsenal menyaksikan pemain-pemain gagal memberikan aksi terbaik yang dimahukan oleh pengurus.

“Pemain-pemain seakan tidak faham apa yang dimahukan oleh Wenger di atas padang dan ia antara punca mengapa aksi pasukan menjadi hambar.

“Wenger bukan seorang pengurus yang kerap mengherdik pemain, dia akan memberitahu pemain apa yang dimahukannya di atas padang.

“Mungkin ada pemain yang mengambil kesempatan di atas sifat mudah mesra Wenger di penghujung waktu beliau mengendalikan Arsenal,” kata Wright.

Wright juga percaya, tiada pengurus lain yang mampu kekal lama di Arsenal seperti Wenger selepas ini.

Dalam pada itu, Wright turut menamakan Henry dan Bergkamp sebagai dua pemain terbaik yang pernah dimiliki oleh Arsenal.

“Henry adalah belian terbaik Arsenal, dia bukan saja penyerang terbaik Gunners tetapi juga yang terbaik beraksi di EPL.

“Bergkamp pula adalah seorang bakat luar biasa, kehadirannya mengubah corak permainan Arsenal.

“Saya masih ingat ketika dia baru tiba di Arsenal, Bergkamp seorang yang mudah didekati dan kami masih berkawan baik sehingga kini,” kata Wright.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen