ARSENAL 1 WOLVES 1

Jurulatih Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, bangga dengan persembahan pasukannya selepas seri 1-1 dengan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Ivan Cavaleiro menyempurnakan hantaran Raul Jimenez untuk meletakkan Wolves di depan pada minit ke-13 dan buat tempoh yang panjang, Wolves mendahului permainan.

Rui Patricio tidak diberikan begitu banyak kesukaran dalam perlawanan itu, namun tidak terdaya untuk menafikan jaringan penyamaan Henrikh Mkhitaryan pada penghujung permainan.

Bagaimanapun, Wolves terus menampilkan ancaman walaupun selepas jaringan penyamaan itu dan menggegar palang gol The Gunners menerusi Morgan Gibbs-White manakala Adama Traore dinafikan oleh Bernd Leno.

Gagal melakar kemenangan, Nuno hanya memiliki kata-kata positif buat pendatang baru EPL itu.

"Hadir ke Emirates dan bermain seperti itu, saya berasakan kami harus berbangga dengan persembahan kami," katanya.

"Ia merupakan satu mata yang berharga tetapi kami seharusnya boleh melakar kemenangan. Wolves berani melancarkan serangan dan mantap sepanjang permainan.

"Arsenal tidak mampu bermain secara kebiasaan, jadi pujian harus diberikan kepada barisan pemain kerana telah memberikan tekanan dan menutup ruang untuk Arsenal mencipta sesuatu.

"Ketika kami memegang bola, kami membawa ancaman dan mencipta peluang. Cara kami mengawal bola dan mencipta banyak peluang berdepan pasukan berkualiti.

"Kami akan terus berusaha dan cuba untuk menampilkan persembahan lebih baik selepas tamat aksi perlawanan antarabangsa."