Pengurus England, Gareth Southgate, telah memanggil pemain tengah Tottenham, Harry Winks, untuk menyertai skuad The Three Lions selepas Fabian Delph dan Phil Jones tidak dapat beraksi.

Selepas berlatih bersama-sama Aidy Boothroyd dalam skuad bawah 21 tahun menjelang aksi berdepan Scotland dan Andorra, Winks terpilih untuk beraksi bersama-sama skuad senior buat pertama kali dalam kariernya.

Perubahan dilakukan selepas Delph dan Jones dihantar semula ke Manchester City dan Manchester United untuk mereka menerima rawatan lanjutan terhadap kecederaan yang dialami.

Tidak dapat berlatih bersama-sama rakan sepasukan semalam, gandingan itu bakal terlepas aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Slovenia di Wembley pada Khamis dan kemudian bertemu Lithuania.

Southgate juga tanpa kelibat Dele Alli yang digantung satu perlawanan selepas melakukan isyarat lucah ketika meraih kemenangan ke atas Slovakia, bulan lalu.

England mengungguli Kumpulan F dan mampu memastikan tempat mereka dalam saingan Piala Dunia Russia 2018 jika memenangi perlawanan seterusnya.