Pemain tengah Bournemouth, Jack Wilshere, berkata dia hampir hilang minat dengan bola sepak ketika proses pemulihan daripada kecederaan musim lalu.

Wilshere menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan England selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Dean Court selepas dipinjam ke Bournemouth.

Kecederaan yang dialami oleh pemain tengah itu memberikan tanda tanya kepadanya untuk meneruskan kariernya dalam bola sepak selepas hanya membuat tiga penampilan pada musim 2015-16.

"Ia merupakan saat paling sukar dalam hidup saya. Saya mengalami kecederaan yang memaksa untuk berehat panjang," ujar Wilshere.

"Minat saya terhadap bola sepak hampir lenyap. Ternyata kecederaan saya pada musim lalu mengganggu mental serta emosi saya.

"Bagaimanapun, saya mahu cuba untuk mengembalikan tahap terbaik saya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Arsenal pada musim akan datang, itu adalah sasaran saya."

Karier Wilshere bersama Bournemouth dilihat beransur pulih, dengan dia telah membuat lapan penampilan Liga Perdana Inggeris setakat ini.