Wilshere diberi jaminan beraksi

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2017 434
Wilshere diberi jaminan beraksi
Jack Wilshere mendedahkan Arsene Wenger telah berjanji untuk memberikannya peluang
beraksi di Arsenal selepas sekali lagi tidak disenaraikan dalam pasukan England.


Wilshere hanya melakukan penampilannya yang kedua pada musim ini ketika masuk sebagai
pemain gantian dalam pertemuan dengan Manchester City di Etihad, Ahad lalu, dalam
perlawanan yang menyaksikan The Gunners tewas 1-3.

Pengendali England, Gareth Southgate, sebelum ini menegaskan bahawa Wilshere perlu
beraksi dengan lebih kerap untuk memastikan tempat bersama The Three Lions terjamin.

Menjelang aksi persahabatan menentang Brazil dan Jerman, Wilshere sekali lagi tidak
disenaraikan di dalam skuad tatkala Southgate memilih untuk membawa masuk Jake
Livermore dan pemain Burnley, Jack Cork.

Bagaimanapun, bekas pemain Bournemouth itu kini fokus untuk meraih tempat dalam
kesebelasan utama Arsenal sebelum mula memikirkan masa depannya bersama England untuk
menghadapi Piala Dunia 2018.

"Saya sudah menjelaskan beberapa kali sebelum ini bahawa saya baru sahaja kembali kepada
kecergasan sepenuhnya, saya gembira di mana saya beraksi," kata Wilshere.

"Saya cuba mendapatkan tempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berjuang untuknya.
Buat masa sekarang, saya hanya mahu kekal cergas dan bermain bola sepak.

"Hubungan saya dengan Wenger sangat baik. Saya mendengar pengurus menjelaskan
beberapa kali dalam sidang media dan menjanjikan waktu permainan buat saya. Saya mahu
kekal di sini.

"Untuk peringkat kebangsaan, saya bangga menjadi warga England tetapi segala-galanya terserah
kepada pengurus pasukan. Saya sentiasa mahu beraksi untuk negara saya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen