Willian dan Pedro bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Chelsea hingga akhir musim 2019-20.

Perjanjian pemain sayap veteran itu sepatutnya berakhir Selasa depan, namun penangguhan kempen musim ini ekoran wabak COVID-19 menyaksikan perlawanan berlanjutan melebihi tarikh tersebut.

Mereka diberi pilihan untuk meneruskan komitmen bagi baki musim ini atau boleh meninggalkan The Blues pada akhir bulan ini berdasarkan kontrak asal.

Begitupun, Willian dan Pedro mahu terus membantu Chelsea dalam perebutan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).

Pasukan kendalian Frank Lampard itu menguasai di tangga keempat selain mara ke suku akhir Piala FA biarpun kempen UCL buat mereka musim ini nampaknya akan berakhir berikutan tumbang 0-3 kepada Bayern Munich dalam pertemuan pertama pusingan 16.



Willian memainkan watak utama di bawah asuhan Lampard menerusi lima gol dalam 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sebalik dikaitkan dengan seteru London, Arsenal dan Tottenham.

Pedro pula hanya berkesempatan beraksi sebanyak sembilan kali dalam liga musim ini tetapi akan kekal hingga kempen ini berakhir sebelum menyertai Roma.

Pemenang Piala Dunia itu berhijrah ke Chelsea daripada Barcelona pada 2015, dua tahun selepas Willian tiba daripada Anzhi.