Mikel Arteta memuji usaha Arsenal mendapatkan khidmat Willian dan menjangkakan pemain baru The Gunners itu mampu 'mencipta sesuatu' dengan kepelbagaian dan pengalamannya.

Arsenal mengesahkan ketibaan ejen bebas, Willian yang menandatangani kontrak tiga tahun semalam, lima hari selepas pemain kebangsaan Brazil meninggalkan Chelsea.

Kerap kali diturunkan di bahagian sayap kanan buat Chelsea, Willian turut selesa di sebelah kiri atau tengah.

Ramai yang mempersoalkan dengan kontrak yang diberikan kepada pemain berusia 32 tahun itu, tetapi Arteta percaya pemain itu akan membuktikan kemampuannya.

"Saya percaya dia seorang pemain yang mampu mencipta impak buat kami," kata Arteta. "Kami telah memantau prestasinya sejak beberapa bulan yang lalu.

"Kami memiliki sasaran untuk memperkuatkan jentera tengah dan bahagian sayap dan Willian adalah seorang pemain yang memiliki kepelbagaian dalam permainannya."