HUDDERSFIELD TOWN 1 CHELSEA 3

Willian berkata juara bertahan, Chelsea, akan terus berjuang untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merapatkan jurang kepada 11 ​​mata di belakang pendahulu, Manchester City, dengan mengalahkan Huddersfield Town 3-1 di Stadium John Smith, awal pagi tadi.


Pemain Brazil itu memainkan peranan penting dalam kemenangan tersebut selepas menghasilkan satu jaringan dan dua bantuan gol untuk Chelsea bangkit daripada kekalahan 1-0 di West Ham, Sabtu lalu.

Walaupun keputusan Chelsea tidak konsisten sementara City memenangi 14 perlawanan liga berturut-turut untuk mengukuhkan penguasaan, Willian percaya skuad The Blues akan terus berusaha keras untuk mempertahankan mahkota mereka.

"Saya fikir kami mempunyai perlawanan hebat, kami menguasai dan cuba mengawal perlawanan," kata Willian kepada BT Sport. "Kami banyak mencipta peluang dan kami perlu teruskan.

"Apabila bermain, saya mahu beraksi dengan baik dan membuat perbezaan. Sudah tentu saya mahu turun dalam setiap perlawanan tetapi saya hanya dapat membuat 11 permulaan.

"Kami tahu ia sukar untuk memenangi gelaran tetapi kami perlu berjuang sehingga akhir. Kami Chelsea, kami adalah kelab besar -- kami perlu berjuang."

Sementara itu, Eden Hazard turut mengakui perlu bagi Chelsea untuk menunjukkan reaksi selepas tewas 1-0 di Stadium London.

"Kami mempunyai perlawanan buruk menentang West Ham -- apabila perkara seperti ini berlaku, kami perlu bangkit," kata Hazard kepada BT Sport.

"Kami melakukan dengan baik hari ini, peminat gembira, kami gembira -- kami akan meneruskan kemaraan dalam perlawanan menentang Southampton. Kami akan bersedia dan akan berjuang hingga akhir.

"Apabila kami bermain seperti ini, ia mudah -- pergerakan yang baik, pengurus mahu kami banyak bergerak dan tidak selalu berada dalam kedudukan sama.

"Kami memiliki banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat tetapi sejak saya datang ke Chelsea, ia selalu sama," tambahnya.