Georginio Wijnaldum berpendapat kecederaan buku lali yang dialami Fabinho sewaktu menentang Napoli memberi tamparan besar buat Liverpool tetapi dia bersedia memainkan peranan di posisi tengah bertahan.

Pemain Belanda itu masuk menggantikan Fabinho dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield semalam, sekali gus memberi petanda dia bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukannya itu walaupun lebih banyak memainkan peranan menjana serangan dari tengah buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Namun, Wijnaldum mengakui kehilangan Fabinho dalam beberapa perlawanan akan datang -- tatkala Liverpool masih menanti perkembangan kecederaan itu -- menjadikan cabaran lebih getir buat pemenang Liga Juara-Juara dan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

"Ia satu tamparan besar buat seluruh pasukan, itu sudah pasti dan selaku pemain, dia juga berasakannya," kata bekas pemain Newcastle United itu.

"Ia adalah situasi di mana anda perlu menghadapinya. Selama beberapa tahun, kami berdepan masalah kecederaan dan kini perlu tunjukkan bahawa kami mampu menangani situasi itu."

Fabinho memainkan peranan penting dalam aspek bertahan buat skuad Liverpool dan kini naluri serangan yang dimiliki Wijnaldum diharapkan mampu mengisi kekosongan itu.

Dia telah melakukannya sebelum ini dan apabila ditanya mengenai cabaran untuk menggantikan tempat Fabinho, dia tampak tidak berdepan masalah.

"Saya beraksi di posisi itu pada musim lalu. Anda fikir saya sedia?" tambahnya.

"Kami cuma perlu buktikan bahawa ia tidak memberi kesan kepada pasukan."