Bekas penyerang West Ham, Carlton Cole, mahu kelab itu menawarkan kontrak baru kepada Marko Arnautovic sambil menyifatkan penyerang Austria itu sebagai pemain utama The Hammers.

Pemain berusia 29 tahun itu telah dikaitkan bakal meninggalkan kelab itu Januari depan dan Chelsea dikhabarkan berminat menandatanganinya.

Arnautovic telah menjaringkan lima gol dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat skuad kendalian Manuel Pellegrini itu musim ini dan Cole menganggap prestasi semasa Arnautovic telah membantu mengeratkan hubungan kelab dengan penyokong.

"Dia sangat gembira bersama pasukan," kata Cole.

"Saya tidak dapat melibat sebarang sebab dia perlu meninggalkan kelab. Semua pihak mengetahui kebolehan yang dimilikinya dan berasakan dia akan kekal bersama West Ham.

"Jika dia berhijrah, ia merupakan satu kehilangan buat pasukan.

"Saya tidak mahu Arnautovic meninggalkan West Ham kerana dia merupakan pemain utama pasukan ini."

Cole turut menyokong usaha West Ham untuk mendapatkan bekas pemain tengah Manchester City, Samir Nasri, yang dilaporkan berlatih bersama kelab itu dan berusaha untuk mendapatkan kontrak.

Nasri menerima penggantungan 18 bulan selepas melanggar peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada 2016 tetapi bebas untuk berlatih dengan mana-mana pasukan bermula bulan ini.

Bekas pemain kebangsaan Perancis itu beraksi di bawah pimpinan Pellegrini di City dan Cole berkata, "Saya berasakan pengurus pasukan memiliki hubungan yang baik dengan pemain tersebut.

"Dia seorang pemain yang berkualiti.

"Nasri mampu membawa sesuatu yang berbeza ke dalam pasukan."