Slaven Bilic menafikan West Ham telah mengemukakan tawaran rasmi ke atas Patrice Evra, namun mengakui terpikat dengan penyerang Sunderland, Jermaine Defoe.

Ejen kepada Evra mengakui pemain berusia 35 tahun itu yang kontraknya bakal berakhir penghujung musim ini, tidak gembira kerana jarang diturunkan Massimiliano Allegri untuk memperkuatkan Juventus musim ini.

Bekas pemain pertahanan Manchester United itu dikaitkan kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), bagaimanapun Bilic menepis sebarang minat dari kelab yang berpangkalan di Stadium London itu.

"Kami merupakan sebuah kelab Eropah yang terbanyak dikaitkan dengan pemain," kata pengendali itu dalam sidang media.

"Setiap pemain yang boleh dipikat kerap dikaitkan dengan West Ham.

"95 peratus daripadanya adalah tidak benar. Sudah tentu laporan yang mengaitkan Evra juga tidak benar. Dia adalah seorang pemain yang hebat, tapi bukan bahagian posisinya yang perlu dimantapkan."

West Ham turut dikaitkan dengan bekas penyerang, Defoe, bagi menambah pilihan sengat di barisan hadapan.

Bilic enggan mengesahkan telah membuat sebarang tawaran tetapi berkata dia dan beberapa pemain West Ham yang lain amat mengagumi pemain berusia 34 tahun itu.

"Dia pemain yang sangat bagus dengan cara dia menyumbat gol buat Sunderland. Dia sentiasa peka di kawasan berbahaya," katanya.

"Beberapa pemain tengah memaklumkan bahawa dia merupakan penyerang terbaik yang pernah digandingkan. Namun, ketika ini dia adalah pemain Sunderland.

"Kami mahu pemain yang mempunyai pengalaman dalam EPL, kami tidak mahu panik. Namun, kami cuba membawa masuk beberapa muka baru."

West Ham yang mengharungi prestasi tidak menentu sebelum ini, bagaimanapun, meraih tiga kemenangan berturut-turut menjelang kunjungan ke kelab penyandang juara, Leicester City.

"Keyakinan kami sudah kembali dan kami tidak mahu berhenti," katanya.

"Kami harus terus memperagakan aksi sebegini.

"Leicester tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam liga tapi mereka memiliki kualiti dan sumber pemain yang hebat. Mereka akan kekal."