West Ham mengesahkan pemain tengah, Declan Rice, menghadapi masalah lutut.

Rice dilaporkan perlu diketepikan selama sebulan kerana kerosakan ligamen lutut yang dideritainya dalam kemenangan 2-1 England ke atas Poland dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 di Wembley, pertengahan minggu lalu.

Kehilangan Rice memberi tamparan besar kepada impian The Hammers untuk merebut tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL) sementara pengurus England, Gareth Southgate, berharap pemain tengah itu sempat pulih sepenuhnya pada waktunya untuk terpilih dalam Euro 2020, Jun depan.

Rice berkata: "Sudah tentu saya kecewa kerana mengalami kecederaan ini tetapi saya tetap bersemangat. Saya telah memulakan program pemulihan dan berharap dapat kembali ke lapangan dengan rakan sepasukan tidak lama lagi.

"Walaupun tidak dapat beraksi, saya akan memberikan semua yang terdaya untuk berusaha ke arah itu dan sentiasa memberikan menyokong pasukan kerana kami ingin meneruskan musim ini yang sangat positif."



Pengurus West Ham, David Moyes berkata: "Ia sesuatu yang mengecewakan. Kami sedar tidak dapat mengetengahkan khidmatnya selepas perlawanan membabitkan England itu tetapi apapun kami perlu terus memandang ke depan. Kami memang kecewa dengan perkembangan tersebut.

"Ia juga memberi peluang kepada pemain lain dan itulah yang dimaksudkan tentang skuad ini dan semoga kami sebagai sebuah pasukan dapat menanganinya.

"Kami sedar kami kehilangan seorang pemain yang bagus tetapi keseluruhannya kami telah beraksi dengan baik tahun ini."