Pengurus West Ham, David Moyes, menegaskan kelab itu harus melabur dalam jendela perpindahan Januari untuk membina skuad kompetitif.

The Hammers tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi, selepas tumpas 1-0 kepada Arsenal.

Pemain remaja, Declan Rice dan Domingos Quina, memulakan aksi dalam kesebelasan utama manakala pemain seperti Joe Hart dan Javier Hernandez turut diberi peluang.

Walaupun kecewa dengan pertahanan pasukannya yang dibolosi Danny Welbeck untuk gol kemenangan, Moyes percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan lebih baik.

"Kami perlu menambah kualiti dan anda dapat melihatnya malam ini," kata Moyes kepada Sky Sports.

"Kelab tahu. Saya fikir mereka sedar mengenainya sebelum ketibaan saya lagi.

"Kami terpaksa memulakan permainan dengan dua pemain berusia 18 tahun di bahagian tengah dan apabila menentang Arsenal, ia selalu menjadi sukar.

"Kami mempunyai pilihan pemain di posisi lain, agak sedikit tetapi pada masa ini, kami memerlukan pemain tengah."

Moyes mengakui berdepan kesukaran untuk memilih skuad yang beraksi di Stadium Emirates kerana sedar perlu memberi keutamaan untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), namun dia tetap kecewa dengan prestasi pertahanan yang membolehkan Welbeck menyumbat gol dalam percubaan keduanya.

"Kami melepaskan gol yang sangat buruk, ia bukan jaringan yang patut diberikan kepada Arsenal," katanya lagi.

"Kami sepatutnya mempertahankannya dengan lebih baik. Saya tidak fikir ada peluang terbuka selepas itu."