Slaven Bilic berasa seperti West Brom pasukan kerdil di Old Trafford selepas tewas 0-1 secara kontroversi kepada Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pasukan Albion itu kekal berada dalam zon penyingkiran tanpa sebarang kemenangan daripada sembilan perlawanan EPL musim ini selepas Bruno Fernandes menyudahkan sepakan penalti yang diambil semula untuk memberikan skuad The Red Devils itu kemenangan pertama di laman sendiri musim ini.

Ia mungkin berakhir dengan cara berbeza seandainya pengadil, David Coote, tidak mengubah keputusannya untuk memberikan skuad The Baggies itu sepakan penalti selepas Fernandes mengasari Conor Gallagher.

Fernandes kelihatan melakukan sentuhan ke kaki Gallgher tetapi Coote mengubah keputusannya selepas melakukan semakan melalui skrin di tepi padang.

Menambahkan keperitan itu, Fernandes menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang diambil semula selepas penjaga gol, Sam Johnstone, menyelamatkan percubaan pertama pemain tengah itu tetapi dikesan keluar terlalu awal daripada garisannya.

Bilic tidak faham mengapa Albion tidak diberikan sepakan penalti sambil berkata pasukannya sepatutnya mendapat sepakan percuma apabila Gallagher dikasari sebelum insiden bola terkena tangan Darnell Furlong, yang menghadiahkan United sepakan penalti.

"Saya amat kecewa dengan keputusannya (tidak memberikan sepakan penalti). Ia rasa seperti Wast Brom pasukan kerdil. Kesemua keputusan penting itu tidak memihak kami. Saya menontonnya berulang kali dan ia penalti yang amat jelas. Saya tidak faham mengapa dia membatalkannya," katanya kepada BT Sport.

Mengenai sepakan penalti United, Bilic menambah: "Ia bola terkena tangan. Ia agak kurang bernasib baik tetapi ia dikira berdasarkan peraturan terkini. Sebelum itu, ia kekasaran yang amat jelas ke atas Conor Gallagher.

"Daripada sepatutnya 1-0 buat kami, ia menjadi 1-0 buat mereka.

"Apabila anda bertandang ke gelanggang Manchester United, terdapat perbezaan yang ketara," katanya lagi.