Timo Werner berkata dia akan meninggalkan RB Leipzig dengan hati yang berat tetapi percaya keputusan untuk menyertai Chelsea merupakan satu keputusan yang tepat buat dirinya.

Semalam, Chelsea mengesahkan bahawa mereka sudah mencapai kesepakatan untuk menandatangani penyerang prolifik itu, bergantung kepada keputusan ujian kesihatan yang akan dijalankan.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dilaporkan membayar £47.5 juta (RM252.6 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu dengan tempoh kontrak yang belum didedahkan tetapi dikatakan sehingga 2025.

Werner, yang akan menyertai Chelsea selepas saingan Bundesliga tamat bulan depan, pernah dikaitkan untuk menyertai beberapa kelab gergasi Eropah -- termasuk Liverpool, Manchester United dan Bayern Munich.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Jerman itu yakin perpindahannya ke Stamford Bridge merupakan pilihan terbaik.

Dia mengirimkan satu ciapan Tweeter di samping satu video: "Saya amat gembira untuk menyertai The Blues musim depan! Ia seperti langkah yang tepat buat saya dan saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada Chelsea FC.

"Saya tidak sabar untuk beraksi buat kelab yang hebat dan bersejarah ini! Jumpa anda nanti peminat Chelsea sekalian!"

Werner, yang menjaringkan 32 gol dan 13 bantuan jaringan dalam kesemua kejohanan musim ini, turut mengirimkan satu pesanan buat penyokong Leipzig bagi menjelaskan mengenai pilihannya itu

Dia menulis dalam Instagram: "Selepas empat tahun yang indah dan formatif, sudah sampai masanya untuk memberitahu anda semua bahawa saya akan berpindah ke England tahun depan.

"Saya menjadikan langkah baru dalam hidup saya ini dengan jangkaan yang besar tetapi dengan hati yang berat.

"Saya masih boleh ingat sewaktu saya tiba di Leipzig ketika 20 tahun pada 2016.

"Perlawanan pertama saya menentang Hoffenhaim, perlawanan di laman sendiri pertama saya ketika menentang Dortmund, jaringan pertama saya ke atas HSV... Jadi, empat tahun kemudian, saya dapat memgimbau semula pengalaman hebat yang terlalu banyak, kejayaan dan pertemuan yang akan sentiasa saya kenang.

"Saya mahu mengucapkan TERIMA KASIH. TERIMA KASIH kepada penyokong, rakan sepasukan, kesemua yang bertanggungjawab, majikan dan kesemua mereka yang saya pernah berjumpa di sini setakat ini dan buat bandar Leipzig yang indah ini, di mana saya berasa seperti berada di rumah sejak hari pertama.

"Pada masa sama, saya tidak sabar untuk memulakan kisah baru yang menarik ini dalam karier saya di England, yang akan bermula musim depan.

"Sekarang, sudah pasti, perkara utama adalah menamatkan musim ini dengan cemerlang bersama Leipzig," katanya.