Arsene Wenger tidak mahu Alexis Sanchez menanggung beban Arsenal di depan gol.

Pemain antarabangsa Chile, Sanchez, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City sebelum tamat jendela perpindahan lalu dan akan angkat kaki sebagai pemain bebas pada akhir musim ini, hanya merakamkan empat gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Dia kelihatan bergelut sejak meledak gol terakhir dalam kemenangan 5-0 ke atas Huddersfield Town, namun hilang bisa dalam kekalahan 3-1 kepada Manchester United serta seri dengan Southampton dan West Ham.

Selepas seri 0-0 di Stadium London, Wenger memberitahu sidang akhbar: "Dalam keadaan seperti ini, anda tidak mahu memberi tumpuan kepada seorang pemain semata-mata, anda cenderung memberi tumpuan kepada pasukan secara keseluruhan dan memastikan mereka memberi tumpuan kepada kualiti permainan.

"Kami mencipta peluang, gol-gol akan menyusul, sukar untuk mengatakan prestasinya merundum. Dia telah mencuba, ia agak sukar kerana pihak lawan juga bertahan dengan baik," katanya.

Wenger percaya Arsenal hanya dipatahkan oleh ketangkasan David de Gea kerana mereka mencipta deretan peluang ketika menentang United sehingga memberi kesan kepada barisan serangannya.

"33 percubaan tepat dalam kekalahan kepada Manchester United mungkin memberi sedikit impak," tambah Wenger, dengan Arsenal menduduki tempat ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) -- satu mata di belakang Tottenham, Liverpool dan Burnley.

"Kami perlu terus memberi tumpuan kepada kualiti permainan kami dan tidak memberi tumpuan tentang fakta bahawa kami tumpul pada masa ini.

"Ia akan kembali dan tidak terlalu ketara menjejaskan kami," katanya lagi.