Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, percaya bahawa "sesuatu akan berlaku" dalam masa setahun untuk memperlahankan peningkatan yuran perpindahan pemain.

Pengendali dari Perancis itu sebelum ini menyokong Peraturan Kewangan Saksama UEFA (FFP) sebelum mempersoalkan tindakan Paris-Saint Germain (PSG) mendapatkan Neymar dengan nilai EUR222 juta (RM1.4 bilion).

Bagaimanapun, Wenger menjangkakan sesuatu akan dilakukan sebagai usaha untuk memperlahankan perbelanjaan sesebuah kelab.

"Sesuatu akan berlaku. Buat pertama kali, Perdana Menteri Jerman dan Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) telah mencampuri urusan perpindahan, sekaligus bakal menyaksikan perubahan terhadap proses perpindahan pemain," katanya.

Jelas Wenger, dia menjangkakan sama ada peraturan itu akan diperketatkan atau sebaliknya.

"Ia akan menjadi salah satu, sama ada diubah peraturan atau dibiarkan sahaja.

"Anda tidak boleh membiarkannya di pertengahan kerana itulah situasi kami pada masa sekarang. Ia satu-satunya kelebihan untuk sesetengah pasukan yang boleh berurusan dengan undang-undang yang ditetapkan," tambahnya.