Arsene Wenger memohon maaf kerana membuat penyokong Arsenal "sengsara" untuk tempoh 20 tahun ketika beliau berucap dalam meyuarat agung tahunan kelab itu pada Isnin.

Pengurus berbangsa Perancis itu, yang baru-baru ini melengkapkan tempoh 20 tahunnya menerajui kelab itu, menyaksikan pemegang saham berdiri memberi penghormatan kepadanya.

Wenger berseloroh yang beliau bersimpati kerana penyokong Arsenal harus mendengar cakap-cakapnya sekali lagi di sebalik derita yang mereka alami sepanjang tempoh beliau memegang teraju pasukan.

Pemilik majoriti, Stan Kroenke, menghadiahkan pengurus itu sebuah potret yang tertera nama setiap pemain yang terpilih dalam tempoh beliau selaku pengurus, yang berjumlah 210 orang kesemuanya.

“Ya, ia sudah 20 tahun – saya minta maaf,” kata Wenger di majlis itu yang berlangsung sehari sebelum perlawanan Piala EFL menentang Reading.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sokongan berterusan anda dan memohon maaf di atas setiap minit saya membuat anda sengsara sepanjang 20 tahun ini!

"Tapi anda tidak kelihatan terlalu teruk bagi mereka yang telah menderita selama 20 tahun.

“Saya memohon maaf buat seorang budak yang lahir 20 tahun lalu dan hanya mengenali seorang pengurus. Saya ingin meyakinkannya bahawa apabila dia mencapai usia 40 tahun, dia akan mengenali beberapa pengurus lagi.

"Saya telah cuba berbakti selama 20 tahun kepada kelab ini dengan ikhlas, dengan komitmen menyeluruh, kesetiaan dan tentunya kecekapan dan itu adalah bahagian penting daripada bimbingan saya.

"Saya cuba menghormati apa yang penting untuk kelab ini, hormat kepada orang, bersikap merendah diri di samping sentiasa cuba membangunkan pasukan dan kelab ini.”

Wenger percaya Arsenal, yang terikat jumlah mata yang sama dengan Manchester City selepas sembilan perlawanan, berpeluang cerah menamatkan penantian untuk meraih kejuaraan pertama Liga Perdana sejak 2004.

“Saya percaya pasukan ini memiliki komitmen, kebersamaan, keinginan dan kesepaduan.

“Kami berpeluang baik untuk bersaing bagi (kejuaraan) Liga Perdana.

“Cabaran buat kami ialah bersaing untuk segala-galanya bermula esok dalam Piala Liga. Sekalipun jika anda melihat beberapa muka baru, keinginan kami adalah untuk mara dan bertarung untuk segala-galanya kerana saya percaya kami memiliki sebuah skuad yang lebih matang dan diperlengkapkan untuk menangani segala cabaran yang kami hadapi.

“Itu adalah sasaran yang saya sangat komited untuk capai dan memberikan yang terbaik supaya kami kekal berjaya sehingga akhir musim.”