Wenger gembira Liverpool tidak kebal 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Mei 2020 842
 Wenger gembira Liverpool tidak kebal 
Arsene Wenger mengakui gembira melihat usaha Liverpool mengekalkan rekod kebal mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir.

The Reds tidak tewas dalam 27 perlawanan liga dan berada di landasan yang tepat untuk mengulangi kejayaan kempen Arsenal pada 2003-04 yang menyaksikan mereka menjulang gelaran tanpa kekalahan.

Begitupun, anak buah Jurgen Klopp dikejutkan Watford 0-3 Februari lalu, secara tidak langsung mengakhiri impian mereka untuk mengulangi kejayaan barisan kendalian Wenger itu.

Justeru, pengurus kelahiran Perancis itu gembira melihat The Gunners kekal sebagai satu-satunya juara kebal dalam EPL.

"Ya, itu satu bentuk kepuasan. Kami ingin menjadi satu-satunya pasukan yang mencapai sesuatu yang luar biasa," katanya kepada beIN SPORTS semalam. 

 

"Liverpool hampir dapat melakukannya, tetapi ia membuktikan bahawa adalah sukar untuk mengulangi pencapaian itu. Bagaimanapun, pada hari tersebut, saya menerima banyak mesej daripada penyokong Arsenal."

Kelab dari Merseyside itu mendahului EPL dengan 25 mata sebelum musim ini terpaksa ditangguhkan kerana ancaman wabak novel koronavirus (Covid-19). 

Dengan Bundesliga sudah kembali, LaLiga, Serie A dan EPL turut mahu mengikut jejak langkah itu, tetapi Wenger mengatakan aksi di gelanggang tertutup adalah pilihan terbaik dalam situasi ketika ini.

"Bola sepak tanpa penyokong? Benar bukan itu yang kita mahukan tetapi nampak ia akan terjadi," katanya.

"Ini masih merupakan langkah yang paling adil. Sekurang-kurangnya, keputusan boleh dicapai di atas padang. Pada akhirnya, ini adalah satu keputusan sukan.

"Orang Jerman sangat bagus dan berani, ia harus diperakui. Ini adalah satu promosi besar yang dicapai dalam bola sepak mereka hari ini."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen