Bos Arsenal, Arsene Wenger, tidak mempertikaikan kualiti yang dimiliki Manchester City tetapi pada masa sama menegaskan skuad asuhan Pep Guardiola itu bukanlah tidak dapat disekat.

City menjadi pasukan paling bergaya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila memungut 31 mata dengan perbezaan 38 jaringan dan tujuh bolos daripada 11 perlawanan, yang juga merupakan rekod baru EPL.

Kali terakhir City menang 3-1 ke atas The Gunners di Stadium Etihad dalam perlawanan yang memaksa Wenger menuntut kualiti pengadil dalam pertemuan penting.

Pengurus dari Perancis itu berasakan Raheem Sterling berlakon menjatuhkan diri untuk memenangi penalti sebelum Sergio Aguero menjadikan kedudukan 2-0 sambil mendakwa David Silva dalam kedudukan ofsaid ketika mencipta peluang untuk jaringan Gabriel Jesus selepas Alexandre Lacazette berjaya mengurangkan defisit perlawanan.

Sehubungan itu, Wenger masih kecewa dengan tindakan pengadil, namun yakin City bukanlah tidak boleh disekat.

"Mereka adalah pasukan yang bagus tetapi mereka bukannya tidak mampu dihalang," katanya kepada SPORTS.

"Pertemuan kami seimbang, perlawanan berlangsung sengit. Mereka tidak mempunyai banyak percubaan tepat, cuma lebih satu daripada kami, itu sahaja.

"Keseluruhannya, saya fikir kami dihukum teruk dengan gol ketiga. Pada kedudukan 2-1, perlawanan sangat sengit.

"Saya tidak mempertikaikan bahawa mereka sememangnya bagus tetapi mereka bukanlah tidak boleh dikalahkan, sebaliknya pengadil memberi kesan yang sangat teruk," katanya lagi.

Wenger merupakan satu-satunya pengurus yang telah mengetuai sebuah pasukan untuk mengharungi kempen EPL tanpa kalah ketika skuad yang berpangkalan di London itu mencapai kejayaan pada musim 2003-04.

Begitupun, Wenger sekali lagi mengulangi kenyataannya mengenai peluang City dengan berkata: ""Orang sentiasa mahu meramalkan apa yang akan berlaku. Saya tidak tahu lebih banyak berbanding anda.

"Mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi, buat masa ini hanya sebuah pasukan pernah melakukannya," ujarnya.