Arsene Wenger berkata beliau tidak terbabit untuk memilih penggantinya selepas terbit laporan menyatakan Carlo Ancelotti akan mejadi pengurus Arsenal yang seterusnya.

Pengendali kelahiran Itali itu menegaskan beliau akan mengambil masa untuk berehat selepas dipecat daripada Bayern Munich bulan lalu selepas mereka tewas 3-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Ancelotti menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2009-10 ketika mengendalikan Chelsea dan dijangka menjadi rebutan selepas kembali ke kancah bola sepak, di mana beliau telah memenangi tiga kejuaraan UCL.

Bagi Wenger, yang menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan menandatangani kontrak baru selama dua tahun dan melanjutkan tempoh 21 tahun bersama kelab tersebut, menolak cadangan mengenai Ancelotti bakal menggantikan tempatnya di Stadium Emirates.

"Saya tidak tahu siapa yang bakal menggantikan saya di Arsenal," katanya.

"Saya tidak terlibat mencari pengganti saya. Tugas saya adalah menyediakan pasukan untuk perlawanan seterusnya dan bertanggungjawab untuk polisi teknikal kelab ini.

"Mencari pengendali baru adalah tugas pihak pengurusan. Saya tidak mahu melakukan perkara itu," katanya.