Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, mendedahkan bahawa beliau akan kembali ke bidang kejurulatihan pada awal 2019, namun tidak menjelaskan destinasi yang akan ditujuinya.

Pengurus berusia 69 tahun itu tidak mengendalikan sebarang pasukan sejak meninggalkan Arsenal pada penghujung musim lalu yang menamatkan khidmat selama 22 tahunnya bersama pasukan Liga Perdana Inggeris itu.

Beliau dikaitkan untuk mengisi kekosongan pengurus Real Madrid yang memecat Julen Lopetegui, namun berita tersebut seakan-akan tidak sahih sebaik beliau mengumumkan hanya akan kembali ke pentas kejurulatihan bermula tahun depan.

Wenger enggan mendedahkan ke mana hala tujunya selepas ini, namun menyifatkannya sebagai sesuatu yang janggal andai beliau kembali ke England disebabkan sejarahnya bersama Arsenal sebelum ini.

Apabila ditanya Sky Sports berkenaan bila beliau akan kembali ke kancah bola sepak, Wenger berkata: "Ia akan bermula awal tahun depan.

"Buat masa ini, saya hanya mahu berehat secukup-cukupnya. Saya menikmati setiap perlawanan bola sepak yang saya saksikan.

"Saya sudah katakan sebelum ini, mungkin perkara terbaik adalah tidak kembali ke England.

"Saya menghabiskan banyak masa bersama kelab yang sama dan agak janggal untuk bersama pasukan lain di sana.

"Untuk ketika ini, saya tidak dapat memberitahu anda tentang masa depan saya kerana saya juga masih belum tahu.

"Saya tidak tahu di mana saya akan berada. Saya akan pergi ke sesebuah pasukan, cuma saya belum tahu ia di mana."

Ditanya sama ada beliau akan mengendalikan pasukan kebangsaan sesebuah negara selepas ini, Wenger menjawab: "Saya tidak tahu, saya masih belum membuat pilhan."