Arsenal mengesahkan penyerangnya, Danny Welbeck, selesai menjalani pembedahan kedua di bahagian buku lali yang patah.

Welbeck mengalami kecederaan itu ketika The Gunners terikat seri dengan Sporting CP dalam saingan Liga Europa, hujung minggu lalu.

Pengurus pasukan, Unai Emery, mengesahkan penyerang England itu patah pergelangan kaki kanan akibat pendaratan tidak sempurna ketika perebutan bola di udara.

Pemain berusia 27 tahun itu melalui pembedahan pertama Jumaat lalu, namun terpaksa menjalani pembedahan kedua, tiga hari selepas itu.

Pihak pasukan tidak dapat memberi kepastian tentang tahap kecergasan Welbeck dan bila pemain itu dapat kembali beraksi.

"Disebabkan kecederaan yang dialaminya dalam perlawanan menentang Sporting CP, Khamis lalu, Danny terpaksa menjalani pembedahan kedua di pergelangan kaki kanannya," kata Arsenal dalam kenyataan rasmi.

"Kedua-dua pembedahan berjalan baik tanpa sebarang komplikasi.

"Danny kini dalam fasa penyembuhan dan akan memulakan proses pemulihan tidak lama lagi.

"Terlalu awal untuk menentukan masa yang diperlukannya untuk pulih.

"Semua pihak dalam pasukan memberikan sokongan penuh buat Danny dan kami akan memastikan rawatan terbaik buatnya dalam memastikan dia dapat kembali beraksi secepat mungkin."